Isnin, 9 Mac 2009

Isnin, 2 Mac 2009

Peniaga ambil langkah 'tunggu dan lihat' menjelang bajet mini

Peniaga ambil langkah 'tunggu dan lihat' menjelang bajet mini

KUALA LUMPUR 1 Mac - Saham-saham di Bursa Malaysia mungkin menyaksikan dagangan kecil minggu ini apabila pelabur mengambil langkah 'tunggu dan lihat' menjelang pengumuman bajet mini pada 10 Mac.

Peniaga-peniaga berkata, pelabur juga memerlukan sedikit masa untuk menerima hakikat penyusutan pendapatan korporat yang dilaporkan oleh beberapa kaunter berwajaran tinggi dalam beberapa hari lepas.

"Kegiatan dalam bursa tempatan akan terus tidak bermaya kerana pelabur-pelabur masih menjauhi pasaran kerana ketiadaan langkah jelas untuk membendung ekonomi global daripada menjadi semakin lembap," kata seorang peniaga.

Beliau berkata, pertumbuhan 0.1 peratus dalam suku keempat tahun lepas yang lebih lemah daripada dijangkakan mencetuskan kebimbangan tentang pertumbuhan tahun ini dan ini menyebabkan pelabur enggan memasuki pasaran.

"Meskipun masih ada peluang belian, namun pelabur mungkin menggunakan strategi mengambil untung apabila harga meningkat bagi kebanyakan saham di bursa tempatan," kata beliau.

Kebanyakan pengurus dana bergiat cergas, manakala pelabur runcit menyepi, dan trend ini dijangka berterusan melainkan jika lebih banyak berita positif muncul bagi memberikan sokongan, katanya.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) mungkin bergerak di antara 883.0 dengan 890.0 atau menguji tahap 900 sebelum berundur semula ekoran pengambilan untung.

Kata peniaga itu, kaunter-kaunter berasaskan kewangan diramalkan menerima tekanan berikutan penurunan kadar dasar semalaman sebanyak 50 mata asas kepada dua peratus kerana margin faedah bersih berkemungkinan jatuh.

Bagaimanapun, syarikat yang mempunyai operasi besar di luar negara seperti Bumiputra-Commerce dan Maybank akan kurang terjejas.

Berbanding minggu sebelumnya, IKKL ditutup lebih tinggi sedikit iaitu sebanyak 0.96 mata kepada 890.67 minggu lalu daripada 889.71 minggu sebelumnya.

Indeks Perusahaan menokok 2.03 mata kepada 2,108.35, tetapi Indeks Kewangan turun 17.16 mata kepada 7,009.66 manakala Indeks Perladangan susut 12.45 mata kepada 4,374.04.

FBMEmas naik 9.23 mata kepada 5,847.07, FBM30 mengukuh 24.9 mata kepada 5,792.88, dan FBM2BRD menambah 0.13 mata kepada 3,980.36.

Bagaimanapun, FBM-MDQ turun 33.89 mata kepada 3,108.28.

Jumlah dagangan keseluruhan minggu lalu mengecil kepada 1.719 bilion saham bernilai RM2.891 bilion daripada 1.763 bilion saham bernilai RM2.684 bilion minggu sebelumnya.

Di Papan Utama jumlah dagangan bertambah kepada 1.514 bilion saham bernilai RM2.848 bilion daripada 1.500 bilion saham bernilai RM2.627 bilion.

Papan Kedua mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 73.083 juta saham bernilai RM27.470 juta daripada 116.230 juta saham bernilai RM34.983 juta Jumaat sebelumnya.

Pasaran Mesdaq menyaksikan jumlah dagangannya merosot kepada 45.534 juta saham bernilai RM9.742 juta daripada 70.708 juta saham bernilai RM14.637 juta minggu sebelumnya.

Waran opsyen belian susut kepada 60.957 juta saham bernilai RM6.726 juta daripada 70.536 juta saham bernilai RM5.693 juta sebelumnya. - BERNAMA

Peniaga Melayu bandar kurang

Peniaga Melayu bandar kurang

Oleh AZMAN IBRAHIM
azman.ibrahim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Mac - Bilangan peniaga Melayu di ibu kota semakin berkurangan apabila kebanyakan mereka beralih kepada kawasan pinggir bandar dan kampung untuk menjalankan perniagaan.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Faudzi Naim Noh, bagaimanapun menyifatkan keadaan itu bukan disebabkan mereka gagal bersaing tetapi mencari tapak yang lebih selesa.

Beliau berkata, walaupun satu demi satu peniaga Melayu keluar dari ibu kota, keadaan itu tidak membuktikan kegagalan, sebaliknya ia menunjukkan peniaga Melayu masih mempunyai daya tahan.

''Ibu kota dan pusat bandar mempunyai kesesakan jalan raya dan kos penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan ia mengundang rasa tidak selesa di kalangan peniaga Melayu.

''Walaupun mereka keluar dari pusat bandar, mereka tidak memberhentikan perniagaan, sebaliknya tetap meneruskan perniagaan,'' katanya.

DPMM sehingga kini mempunyai 20,000 ahli berdaftar dan 300,000 ahli bersekutu.

Ditanya tentang kewujudan segelintir Melayu yang masih berkeupayaan menjalankan perniagaan di ibu kota, beliau berkata, golongan itu selain berdaya tahan tinggi, turut terbabit dalam kegiatan peruncitan.

''Peniaga Melayu terkenal dan popular dengan perniagaan perkhidmatan seperti pengangkutan, perakaunan dan guaman,'' ujarnya.

Ditanya tentang kemungkinan konsep pengurusan perniagaan Persatuan India Muslim Malaysia (Pekima) diperkenalkan, beliau berkata, DPMM kini menggunakan pendekatan memperkemaskan pengurusan perniagaan, premis, perakaunan dan jaringan perniagaan.

Faudzi, pada masa yang sama mengakui kebolehan persatuan itu menguruskan ahli-ahli mereka dengan baik.