Rabu, 24 Februari 2010

GST untuk kebaikan semua

GST untuk kebaikan semua
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAILrencana@utusan.com.my
BAYARAN makanan termasuk cukai perkhidmatan yang dikenakan di restoran mungkin dapat dikurangkan melalui pengenalan GST.

JIKA mengikut perancangan awal kerajaan, cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sepatutnya sudah dilaksanakan dua tahun lalu iaitu pada 2007. Bagaimanapun, pelaksanaannya yang diperkenalkan pada 2005 ditangguhkan kerana dilihat agak tergesa-gesa selain negara memerlukan sebuah penstrukturan semula cukai yang lebih sistematik.
Selepas empat tahun, kajian mekanisme GST menerusi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ketika ini sudah berada pada fasa terakhir dan akan dibentangkan pada akhir sidang Dewan Rakyat. Pelaksanaannya pula dijangka pada 2011.
Tidak dinafikan, pelaksanaan GST memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat.
Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan.
Ia juga dapat mengurangkan beban pembayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.
Itu antara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat di negara yang sudah lama melaksanakan GST seperti di New Zealand, Australia dan Singapura.
Di rantau Asia Tenggara ini pula, hampir seluruh negara sudah melaksanakan sistem cukai itu melainkan tiga buah negara sahaja iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar.
Namun kita perlu realistik dalam membuat perbandingan kerana tidak semua pelaksanaan GST memberi kelebihan kepada negara-negara tertentu.
Di Kanada misalnya, kerajaan Parti Progresif Konservatif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney tumbang pada 1993 apabila memperkenalkan GST pada 1989. Hong Kong juga ketika ini dikatakan sedang mengkaji semula pelaksanaan GST.
Ini secara tidak langsung menunjukkan pelaksanaan GST bukan mudah untuk diterima lebih-lebih lagi di kalangan rakyat.
Terdapat beberapa perkara daripada pelaksanaannya yang jika tidak diperhalusi boleh membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang agak perlahan ketika ini serta kos kehidupan yang agak tinggi, pelaksanaan GST mungkin dilihat tidak kena pada masanya.
Dalam sistem percukaian yang digunakan ketika ini misalnya, golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas pelaksanaan GST, mereka bakal dikenakan cukai secara tidak langsung yang dipindahkan kepada perkhidmatan dan barangan.
Bagi rakyat berpendapatan rendah, hakikat itu mungkin satu bebanan berbanding dengan golongan kaya yang mendapat kelebihan kerana tidak lagi perlu membayar cukai yang tinggi serta beberapa cukai yang dikecualikan.
Rakyat juga bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melambung tinggi. Ini sememangnya berlaku di negara-negara yang mula melaksanakan dasar tersebut.
Gambaran-gambaran sebeginilah yang berlegar-legar di kalangan rakyat kebanyakan menyebabkan ramai yang masih belum faham mengenai GST. Lebih malang, ia dimanipulasi pula oleh sesetengah pihak untuk menghentam kerajaan meskipun mereka mengetahui pelaksanaannya mampu memberi kelebihan kepada semua pihak.
Hakikatnya, GST mengecualikan beberapa perkhidmatan dan barangan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk disediakan kepada rakyat kebanyakan, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin.
Antaranya yang dijangkakan bebas GST ialah makanan, pendidikan, kesihatan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kebajikan dan keagamaan. Perlu juga untuk difahami bahawa cukai GST adalah cukai yang dikenakan ke atas pengguna dengan asas yang lebih meluas. Bukannya cukai perniagaan yang membolehkan kumpulan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.
Dalam situasi ini, peranan peniaga hanyalah sebagai ejen cukai kepada kerajaan. Kenaikan harga barang dalam satu-satu masa pula lebih kepada barangan mewah.
Bagi pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Md Jani, beliau berpandangan GST memberi kelebihan dari dua sudut iaitu memudahkan kerajaan mengutip cukai dengan jaminan ia berjalan lebih cekap.
Dalam masa yang sama jelas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan di Kolej Profesional Mara, Melaka ini, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan bebanan pembayar cukai pendapatan yang sebenarnya minoriti.
Bagaimanapun katanya, GST wajar bermula pada kadar yang rendah sebelum dinaikkan beransur-ansur supaya tidak membebankan rakyat.
Beliau mengambil contoh Singapura yang mula memperkenalkan GST pada 1994 pada kadar sebanyak tiga peratus dan menaikkan kepada lima peratus selepas itu.
Kadar itu tidak jauh berbeza dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu berkisar antara tiga hingga empat peratus yang relevan dengan situasi semasa.
Kadar yang rendah itu juga adalah komitmen kerajaan dalam mengimbangkan dengan kebajikan rakyat.
"Rakyat sebenarnya mengharapkan agar kerajaan menjadikan matlamat mendapatkan pendapatan kerajaan yang lebih baik sebagai keutamaan dalam pelaksanaan GST ini. Bukan semata-mata untuk meringankan beban golongan minoriti pembayar cukai walaupun kedua-dua faedah ini berlaku serentak," katanya.
Dalam hal ini, kerajaan perlu menggiatkan lagi aktiviti kebajikan untuk rakyat bagi mengimbangi beban cukai yang bakal mereka tanggung.
Contohnya menaikan jumlah biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan atau menambah peruntukan. Ini bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmatinya memandangkan cukai ini ditanggung oleh semua individu yang berbelanja termasuk pelajar-pelajar sekolah.
Selain itu tambah Nassrul Hakim, perlu juga ada keseimbangan antara faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dengan golongan berpendapatan rendah. Ini kerana tambah 'definisi' pengurangan pendapatan kepada golongan kaya dan miskin amat berbeza.
Bagi golongan berpendapatan tinggi katanya, pengurangan pendapatan bermaksud mereka kini hanya boleh melancong dalam negeri berbanding luar negara seperti sebelum ini.
"Tetapi 'definisi' pengurangan pendapatan kepada golongan miskin bermakna jika dahulu mereka makan dua kali sehari, sekarang mereka terpaksa makan sekali sehari," ujar beliau.
Layari http://ysptraining.blogspot.com/

GST: Sudah bersediakah kita?

GST: Sudah bersediakah kita?
Oleh Maslinda Masseri
DALAM usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, kerajaan di dalam Bajet 2005 memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di dalam ucapannya semasa pembentangan Bajet 2010 mengumumkan kerajaan kini berada di peringkat terakhir kajian untuk memperkenalkan GST kepada awam.
Apa itu GST?
GST adalah merupakan cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. Memandangkan ia berasaskan pengenaan cukai di setiap langkah nilai ditambah, maka pungutan cukai adalah lebih kerap berbanding dengan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan di mana cukai dikutip hanya sekali.
GST bukanlah satu cukai yang baru. Diperkenalkan di negara Perancis sekitar tahun 1954, ianya diperguna luas seantero dunia. Malahan Malaysia merupakan antara negara terakhir ASEAN yang akan memperkenalkannya. Di sesetengah negara, GST turut dikenali sebagai Value Added Tax (VAT). Antara negara-negara Asia yang telah mengguna pakai sistem ini dan kadarnya masing-masing adalah China (17 peratus), Indonesia (10 peratus), Thailand (7 peratus), Singapura (7 peratus) dan Filipina (12 peratus). Kastam Diraja Malaysia dijangka akan mentadbir GST bagi pihak kerajaan. Walaubagaimanapun, kerajaan dijangka akan mengumumkan paras had (threshold amount) di mana organisasi perniagaan yang jualannya tidak mencecah had tersebut tidak perlu untuk berdaftar dan mengenakan GST ke atas pelanggannya.
Cukai Masukan (Input Tax) dan Cukai Keluaran (Output Tax)
Cukai masukan atau lebih dikenali sebagai input tax didefinisikan sebagai GST yang dibayar ke atas bekalan barangan dan perkhidmatan. Cukai keluaran atau output tax adalah GST yang dikenakan kepada pelanggan seterusnya (bagi pengilang, ini mungkin pembekal dan bagi pembekal, ini mungkin konsumer akhir). Cukai masukan di atas pembelian aset tetap boleh dituntut (tertakluk kepada beberapa syarat). Sekiranya jumlah cukai masukan melebihi jumlah cukai keluaran, organisasi yang berdaftar boleh menuntut bayaran balik daripada pihak Kastam Diraja Malaysia. Sebaliknya jika jumlah cukai masukan kurang daripada cukai keluaran, mereka yang berdaftar perlulah membayar perbezaan tersebut kepada Kastam Diraja Malaysia
Kadar GST dan Barangan Bercukai
Berdasarkan kajian terhadap beberapa negara di dunia, tidak semua barangan atau perkhidmatan akan dikenakan GST. GST boleh dilaksanakan ke atas bekalan bercukai sama ada pada kadar lazim ataupun sifar. Untuk bekalan yang dikecualikan, tiada GST akan dikenakan. Barangan yang mana akan dikenakan kadar lazim, kadar sifar mahupun dikecualikan akan ditentukan oleh pihak kerajaan kelak. Kerajaan telahpun memberi jaminan bahawa sejumlah besar barangan keperluan mungkin akan dikecualikan daripada GST. Lazimnya, barangan yang dikecualikan turut merangkumi pendidikan dan kesihatan.
Mekanisma GST
GST dikenakan ke atas setiap nilai ditambah ke atas barangan dan perkhidmatan dalam setiap tahap urus niaga. Nilai ditambah adalah nilai yang ditambah ke atas barangan mentah ataupun nilai terhadap sebarang pengubahsuaian yang dilakukan oleh pengeluar barangan mentah sebelum dijual kepada pengilang. Pengilang kemudiannya akan mengenakan GST ke atas nilai tambah yang dilakukannya sebelum dijual kepada pelanggannya.
Pengilang akan menyerahkan GST yang dikutip daripada hasil jualan (output tax) kepada Kastam Diraja Malaysia, tetapi selepas mengambil kira GST yang dikenakan ke atas harga belian daripada pembekalnya (input tax).
Gambarajah di sebelah menunjukkan bagaimana GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga dengan andaian GST dikenakan pada kadar empat peratus. Seperti yang ditunjukkan, pembekal akan membayar GST berjumlah RM4 kepada Kastam Diraja Malaysia. Pengilang yang membeli barangan daripada pembekalnya untuk diproses akan merekodkan cukai masukan berjumlah RM4 kerana ini merupakan GST yang dibayarnya kepada pembekal. Amaun ini akan ditolak daripada jumlah cukai keluaran yang dikenakan kepada pengguna akhir iaitu RM4.80. Oleh itu, jumlah cukai yang bayar kepada Kastam Diraja Malaysia oleh pengilang hanyalah berjumlah RM0.80. Aggregat GST yang diserahkan oleh pembekal dan pengilang ialah RM4.80 (RM4.00 + RM0.80) yang bersamaan dengan jumlah GST yang perlu dikenakan oleh pengguna akhir. Realitinya, GST merupakan cukai yang dikenakan di pelbagai peringkat atas kenaikan harga jualan barangan dan perkhidmatan yang dibeli pengguna.
Impak GST ke atas Kerajaan, Perniagaan dan Pengguna Akhir
Pengenalan GST dilihat akan memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan dan korporat pada masa hadapan. Pengurangan kadar cukai ini akan dapat menarik ramai pelabur asing masuk ke Malaysia dan secara tidak langsung akan menambahkan hasil negara. GST juga merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, cekap, telus dan berkesan. Pematuhan juga dijangka akan meningkat memandangkan untuk menuntut cukai masukan, sesebuah perniagaan harus mendaftar dan menyimpan akaun dengan teratur.
Sementara itu, dari aspek bisnes atau perniagaan, GST adalah cukai yang neutral. Walaubagaimanapun, bisnes/perniagaan akan mendapati bahawa kos pentadbiran akan meningkat untuk memastikan yang cukai keluaran dan cukai masukan yang dicaj/dituntut adalah tepat dan betul bagi mengelak penalti.
Pengguna akhir secara kasarnya dilihat terpaksa menanggung keseluruhan cukai yang diserahkan oleh pembekal dan pengilang kepada Kerajaan. Hakikat yang sebenarnya, dengan pengenalan GST pengguna akhir meraih keuntungan yang lebih banyak sekiranya dibandingkan dengan kadar cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Ketika ini cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan pada kadar 10 peratus hingga 15 peratus berbanding dengan GST yang hanya mengenakan satu kadar yang berpatutan yang mungkin adalah lebih kurang daripada cukai sedia ada.
Apa yang perlu dilakukan?
Impak implementasi GST dijangka akan dirasai oleh pelbagai fungsi di dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya akan mempunyai kesan ke atas kontrak, sistem, sumber manusia dan juga kewangan. Oleh itu, adalah penting untuk sesebuah perniagaan bersiap sedia dan mungkin soalan-soalan di bawah boleh menjadi petunjuk:-
“Adakan organisasi anda perlu mendaftar untuk GST?
“Sekiranya ya, sudahkan anda menyediakan pelan dan strategi untuk memenuhi keperluan GST?
“Perlukah melatih kakitangan? Adakah kakitangan anda mencukupi?
“Adakah sistem maklumat anda boleh menampung cukai baru ini? Perlukah anda menaiktarafkan sistem ini?
Kesimpulan
Pelaksanaan GST di negara ini akan memberi impak yang besar. Jika diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaannya adalah diperlukan untuk membolehkan semua orang mengkaji dan didedahkan kepada sistem cukai yang kemungkinannya lebih adil daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada.
Layari http://ysptraining.blogspot.com/

Khamis, 11 Februari 2010

GST tidak sebabkan harga barang naik

GST tidak sebabkan harga barang naik
KUALA LUMPUR 10 Feb. – Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar jangkaan sebanyak empat peratus, tidak akan menyebabkan harga barangan naik berdasarkan imbangan (offset) penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.
Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, secara logiknya dengan pelaksanaan GST pengguna hanya perlu membayar cukai sebanyak empat peratus berbanding lima peratus bagi cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus dan jualan sebanyak 10 peratus.
‘‘Pelaksanaan GST adalah bersifat progresif memandangkan jangkaan peratusan yang akan dikenakan adalah pada kadar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan sekarang,’’ katanya pada Forum GST anjuran Affin Bank Bhd. di sini, hari ini.
Pelaksanaan GST mampu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu dan korporat selain meningkatkan hasil cukai serta mengelakkan berlakunya ketirisan dalam menjana pendapatan negara.
GST bertujuan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan sejak 1972, kini diterima pakai di 143 buah negara seluruh dunia.
GST tidak membebankan rakyat kerana pengecualian diberikan ke atas barangan keperluan seperti produk-produk pertanian serta makanan asas.
GST juga berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport.
Katanya, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 adalah dikecualikan daripada membayar GST.
Ditanya mengenai pendaftaran syarikat di dalam sistem kerajaan, Kamariah berkata, buat masa ini belum ada sebarang pendaftaran yang diterima kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya.
Layari http://ysptraining.blogspot.com/