Rabu, 17 Mac 2010

Kewangan Islam bukan sekadar syarahan, titah Raja Nazrin

Kewangan Islam bukan sekadar syarahan, titah Raja Nazrin
Raja Dr. Nazrin Shah memperkatakan sesuatu kepada Musa Hitam sambil turut diperhatikan oleh Zarinah Anwar selepas menyampaikan ucap tama pada forum sehari anjuran SC dan Pusat Oxford bagi Kajian Islam di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 16 Mac - Kewangan Islam perlu telus bagi memastikan ia dapat diramal dan memberi keyakinan dalam proses urusannya.
"Walaupun mungkin terdapat beberapa elemen kompleks semasa mewujudkan produk pengurusan, adalah penting terdapat hubungan yang jelas dan langsung antara produk dan aset asas.
"Kita perlu memastikan kita merangkumi semua. Penglibatan pemegang saham terutama pengguna dan institusi kewangan merupakan perkara utama untuk meneroka potensi dalam kewangan Islam," titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu, pengerusi Forum Ekonomi Dunia Islam, Tun Musa Hitam dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti,Tan Sri Zarinah Anwar.
Dalam ucaptamanya pada forum "Sumbangan Kewangan Islam Selepas Krisis Kewangan Global", Raja Nazrin bertitah, perlu terdapat inovasi peringkat tinggi dalam kewangan Islam.
Forum sehari itu, anjuran SC dan Pusat Oxford bagi Kajian Islam, menyediakan platform antarabangsa untuk debat, dialog dan kajian mengenai isu kontemporari dan cabaran yang dihadapi dalam membawa kewangan Islam ke dalam arus perdana.
Baginda bertitah, dengan memberi syarahan sahaja kepada dunia mengenai kelebihan kewangan Islam tidak mencukupi untuk menjadikannya kompetitif dan menarik tetapi perlu ada pendekatan yang lebih strategik dan lengkap.
"Kewangan Islam masih menguasai kurang satu peratus daripada instrumen kewangan global.
"Umat Islam terdiri daripada 20 peratus jumlah penduduk dunia, tetapi dalam negara yang majoritinya Islam aset bank-bank konvensional jauh berbeza daripada Islam.
"Ia memerlukan inisiatif yang pintar dan berhati-hati sebelum kewangan Islam boleh memberi sumbangan sedemikian," titah Raja Nazrin.
Baginda menyeru cendekiawan kewangan Islam supaya menyumbang dengan lebih banyak dalam menghasilkan idea inovatif.
"Tugas mereka tidak hanya terhad kepada kewangan Islam tetapi merangkumi kewangan global yang lebih luas," titah baginda dan menambah bahawa institusi juga memainkan peranan penting.
Baginda bertitah model mampan untuk industri memerlukan objektif meluas yang boleh dikongsi serta mempunyai amalan yang kukuh.
"Ini termasuk bukan hanya institusi kewangan yang memulakan dan mengedarkan produk kewangan Islam tetapi juga pelbagai infrastruktur sokongan.
"Terdapat entiti yang berusaha ke arah mencapai objektif bersama menjadikan kewangan Islam lebih kukuh," titah Raja Nazrin, dan menambah bahawa setiap entiti itu merupakan komponen penting dalam rangkaian nilai kewangan Islam.
Beliau berkata, rangkaian nilai perlu berfungsi dengan lancar dan berkesan supaya pelabur tidak dibiarkan dalam keraguan mengenai ketulenan dan kebolehpercayaan produk kewangan Islam.
Bagaimanapun, untuk ini berlaku, titah Raja Nazrin, perlu ada perundingan yang lebih lagi di kalangan institusi berkenaan supaya penyimpan dan pelabur tidak dalam kebingungan.
Layari http://ysptraining.blogspot.com/

Selasa, 2 Mac 2010

Pertumbuhan KDNK 6% boleh dicapai

Pertumbuhan KDNK 6% boleh dicapai
KUALA LUMPUR 1 Mac - Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus bagi tahun ini diyakini boleh dicapai sekiranya para pelabur dan pemain industri turut membantu menjana pesat ekonomi.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkata, ramalan pertumbuhan yang mahu dicapai adalah sejajar dengan pemulihan ekonomi global.
Beliau berkata: "Suku keempat ekonomi negara 2009 mencatatkan pertumbuhan KDNK positif 4.5 peratus, selepas tiga suku sebelumnya mengalami penguncupan.
''Perangkaan terbaru jualan automotif yang meningkat adalah penunjuk baik bahawa ekonomi dijangka terus kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus untuk tahun ini adalah realistik selepas melancarkan bangunan ibu pejabat korporat baru Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yang dikenali Ikhlas Point, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.
Ditanya tentang bilakah dua lesen untuk pengendali takaful dijangka dikeluarkan tahun ini sebagai tambahan kepada lapan pengendali sedia ada, Awang Adek berkata, pengeluarannya tertakluk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, proses itu dikendalikan oleh BNM dan kerajaan akan membuat pengumuman sewajarnya bila tiba masanya.
"Proses ini adalah normal, pihak BNM perlu menilai penerima yang betul diberikan lesen tersebut.
"Penilaian dibuat berdasarkan pengukuhan kewangan, identiti korporat dan negara yang diwakili memastikan pemain yang bersesuaian di pasaran," ujarnya.
Sementara itu, Sharkawi dalam ucapannya menjangka perniagaan takaful menyumbang RM625 juta bagi tahun kewangan ini berbanding RM580 juta pada tahun kewangan lalu yang mewakili 18 peratus pasaran takaful tempatan.
"Jika aliran pertumbuhan berterusan, kami yakin dapat mengekalkan penguasaan pasaran sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2012," ujarnya.
Sehingga kini, Takaful Ikhlas mempunyai seramai 1.4 juta pelanggan yang mana tujuh peratus adalah golongan bukan Islam.
Layari http://ysptraining.blogspot.com/