Rabu, 12 November 2008

Intrade Malaysia 2008 sasar jualan lebih RM3 bilion

Intrade Malaysia 2008 sasar jualan lebih RM3 bilion
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Intrade Malaysia 2008 dijangka meraih jualan melebihi RM3 bilion, kata Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Produk dan Perkhidmatan, Susila Devi.

"Kita bekerja keras dan akan berusaha mencatatkan jualan yang lebih baik tahun ini," kata beliau di sini hari ini.

Acara itu yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan diadakan mulai 13 hingga 16 November, di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade.

Intrade Malaysia 2008, bertemakan "Mengoptimumkan Peluang-peluang Global" bertujuan menyediakan syarikat, para usahawan Malaysia dan perniagaan antarabangsa satu platform untuk mengembangkan lagi peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di pasaran antara serantau dan global.

Susila berkata, lebih daripada 340 peserta pameran dari 30 negara, antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Korea Selatan, Jepun dan Sudan dijangka menyertai pameran itu pada tahun ini.

Beliau berkata, 80 peratus daripada peserta pameran ialah syarikat Malaysia dari pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, automotif, perabot, jubin, bahan binaan dan perkakas isi rumah.

"Antara 297 syarikat tempatan yang menyertai acara itu ialah Proton, Sime Darby, DRB Hicom dan Modenas," kata beliau.

Beliau berkata, Intrade Malaysia 2008 dijangka menarik lebih 15,000 pelawat berbanding 10,000 tahun lepas.

"Matrade menyediakan perkhidmatan bas penghantar dari Pusat Dagangan Dunia Putra, KL Sentral dan KLCC.

"Pameran ini dibuka kepada orang ramai mulai 15hingga 16 November," kata beliau.

Susila berkata, pameran itu akan mengetengahkan rangkaian produk dan perkhidmatan berkualiti dari seluruh dunia.

Beliau berkata, 700 pembeli antarabangsa, mewakili 540 syarikat dari 60 negara seluruh dunia akan menyertai sesi padanan perniagaan satu sama satu.

Satu lagi acara yang diadakan serentak dengan Intrade Malaysia 2008 ialah Forum Perdagangan Antarabangsa KL 2008 pada 13 November ini, kata beliau.

- Bernama

Selasa, 11 November 2008

EA Tech dapat kontrak RM418 juta

EA Tech dapat kontrak RM418 juta
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sindora Bhd. (Sindora) melalui anak syarikatnya E.A Technique (M) Sdn. Bhd. (EATech) telah menerima tiga kontrak sewaan jangka panjang bernilai RM418 juta bagi tempoh 10 tahun.

Pengerusi EATech, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kontrak-kontrak itu mempunyai pilihan untuk dilanjutkan selama tiga tahun lagi.

Sindora merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp), manakala EATech adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kapal tangki minyak serta kapal khidmat sokongan untuk sewaan bagi aktiviti pengangkutan minyak dan gas.

Selain itu, EATech juga mendapat kontrak jangka panjang selama tujuh tahun dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun untuk menyediakan dua buah bot mooring (bot yang memastikan kapal berlabuh atau berada di tambatan) bernilai RM11.7 juta.

''Kami melaksanakan untuk pengurusan sebuah terminal minyak di Melaka,'' katanya yang enggan menamakan pihak yang terbabit.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memeterai perjanjian dengan Sumber Samudera Sdn. Bhd. (Sumber Samudera) untuk membina kapal dan bot dalam kontrak bernilai RM202 juta di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Sumber Samudera, Chee Cheong Saw.

Pengarah Urusan EA Tech, Datuk Ir. Abdul Hak Md. Amin pada sidang akhbar itu berkata, perjanjian yang dimeterai itu melibatkan pembinaan sebuah kapal dengan kapasiti 8,500 metrik tan (MT) dan dua buah bot mooring.

''Pembinaan kapal itu, melibatkan kapal tangki minyak hitam badan berkembar (double hull) dan dua buah bot mooring dengan pilihan membina dua buah kapal tangki produk bersih badan berkembar dengan kapasiti 9,500 MT'.

''Kapal tangki minyak yang pertama dijangka mula digunakan mulai Februari 2010 dan bakinya pada menjelang Mac 2010, manakala bot mooring akan beroperasi pada September 2009," katanya.

Abdul Hak menambah, EATech berkeyakinan dapat mencapai perolehan berjumlah RM75 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Beliau berkata, jangkaan adalah berdasarkan beberapa kontrak baru yang diterima pada tahun ini termasuk kontrak sedia ada.

Tambah Abdul Hak, dalam usaha untuk muncul sebagai syarikat perkapalan terkenal di negara ini, EATech akan memiliki limbungan pembinaan dan pembaikan sendiri berkeluasan empat hektar di Tanjung Langsat, Johor.

''Kami telah melabur kira-kira RM25 juta untuk membina limbungan itu yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

''EATech menyasarkan untuk menjadi pemain global dalam industri kapal ini menjelang tahun 2010 dengan aset sebanyak RM500 juta," jelasnya.

Setakat ini, EATech mempunyai 11 buah kapal tangki minyak serta kapal khidmat sokongan dan dengan pembinaan kapal baru ini syarikat itu bakal memiliki 16 buah kapal.

EATech juga dalam proses untuk membida empat projek baru dan berharap dapat memuktamadkan bidaan tersebut menjelang Januari tahun hadapan.

Isnin, 10 November 2008

Agro Bank luluskan pinjaman RM2.8 bilion

Agro Bank luluskan pinjaman RM2.8 bilion
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
JELI 9 Nov. - Agro Bank telah meluluskan pinjaman kepada 117,000 pengusaha sektor pertanian dan industri asas tani dengan jumlah pinjaman sebanyak RM2.8 bilion sejak Januari sehingga September lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan komitmen institusi kewangan itu untuk membantu meningkat sektor pertanian di negara ini.
Beliau berkata, dalam masa yang sama pihaknya akan meningkatkan perkhidmatan Agro Bank di seluruh negara bagi memberikan kemudahan kepada para pelanggan terutama golongan petani.
"Untuk negeri ini sahaja, kita telah meluluskan pinjaman sebanyak RM123 juta untuk sektor pertanian dan industri asas tani di negeri ini sahaja.
"Ini menunjukkan komitmen kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutama kepada petani," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Agro Bank cawangan Jeli di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Agro Bank, Ab. Malik Ahamad.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah simpanan Patriot dan pampasan perlindungan simpanan pelanggan.
Dalam pada itu Mustapa berkata, pihaknya juga akan menaik taraf beberapa buah cawangan bank tersebut di negeri ini untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan.
"Sebagai contoh, di Jeli ini terdapat sebanyak 30,000 akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM24 juta.
"Dengan jumlah pelanggan yang semakin meningkat terdapat keperluan kita untuk menaik taraf sebahagian daripada lapan cawangan Agro Bank di negeri ini," katanya.
Tambahnya, sumbangan bank tersebut amat penting bagi menjayakan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Rabu, 5 November 2008

PROGRAM PEMBANGUNAN KONTRAKTOR SECARA BERTERUSAN

PROGRAM PEMBANGUNAN KONTRAKTOR SECARA BERTERUSAN
‘ Continuous Contractor Development ( CCD ) ‘

1. PENGENALAN
Program Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan ini bersandarkan kepada CIMP melalui Teras Strategik 2 - Berusaha Meningkatkan Imej Industri Pembinaan serta Strategi Inisiatif 1 – Menggalakkan professionalisma dalam industri pembinaan.

2. OBJEKTIF PROGRAM
Program CCD dalam industri pembinaan dibangunkan dengan objektif-objektif yang disenaraikan seperti berikut ;

i.Menggalakkan kontraktor meningkatkan ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kepakaran dan profesionalisma kontraktor dan industri pembinaan negara secara umumnya.
ii. Meningkatkan pengetahuan dan kecekapan kontraktor dalam pelbagai aspek pengurusan projek pembinaan.
iii. Meningkatkan interaksi dan networking sesama kontraktor melalui perkongsian maklumat dan pengalaman melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
iv. Mempelbagaikan penglibatan kontraktor dalam aktiviti-aktiviti industri pembinaan
v. Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kontraktor pembinaan tempatan.

PUSAT LATIHAN YSP
24-3-2, Tingkat 3, Jalan 4/50, Diamond Square Off Jalan Gombak 53000 Kuala Lumpur
Tel: 03-40235155 Faks : 03-40234155 Email : ysp2007my@yahoo.com
Web http://ysptraining.blogspot.com/