EA Tech dapat kontrak RM418 juta
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sindora Bhd. (Sindora) melalui anak syarikatnya E.A Technique (M) Sdn. Bhd. (EATech) telah menerima tiga kontrak sewaan jangka panjang bernilai RM418 juta bagi tempoh 10 tahun.
Pengerusi EATech, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kontrak-kontrak itu mempunyai pilihan untuk dilanjutkan selama tiga tahun lagi.
Sindora merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp), manakala EATech adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kapal tangki minyak serta kapal khidmat sokongan untuk sewaan bagi aktiviti pengangkutan minyak dan gas.
Selain itu, EATech juga mendapat kontrak jangka panjang selama tujuh tahun dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun untuk menyediakan dua buah bot mooring (bot yang memastikan kapal berlabuh atau berada di tambatan) bernilai RM11.7 juta.
''Kami melaksanakan untuk pengurusan sebuah terminal minyak di Melaka,'' katanya yang enggan menamakan pihak yang terbabit.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memeterai perjanjian dengan Sumber Samudera Sdn. Bhd. (Sumber Samudera) untuk membina kapal dan bot dalam kontrak bernilai RM202 juta di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Sumber Samudera, Chee Cheong Saw.
Pengarah Urusan EA Tech, Datuk Ir. Abdul Hak Md. Amin pada sidang akhbar itu berkata, perjanjian yang dimeterai itu melibatkan pembinaan sebuah kapal dengan kapasiti 8,500 metrik tan (MT) dan dua buah bot mooring.
''Pembinaan kapal itu, melibatkan kapal tangki minyak hitam badan berkembar (double hull) dan dua buah bot mooring dengan pilihan membina dua buah kapal tangki produk bersih badan berkembar dengan kapasiti 9,500 MT'.
''Kapal tangki minyak yang pertama dijangka mula digunakan mulai Februari 2010 dan bakinya pada menjelang Mac 2010, manakala bot mooring akan beroperasi pada September 2009," katanya.
Abdul Hak menambah, EATech berkeyakinan dapat mencapai perolehan berjumlah RM75 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.
Beliau berkata, jangkaan adalah berdasarkan beberapa kontrak baru yang diterima pada tahun ini termasuk kontrak sedia ada.
Tambah Abdul Hak, dalam usaha untuk muncul sebagai syarikat perkapalan terkenal di negara ini, EATech akan memiliki limbungan pembinaan dan pembaikan sendiri berkeluasan empat hektar di Tanjung Langsat, Johor.
''Kami telah melabur kira-kira RM25 juta untuk membina limbungan itu yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.
''EATech menyasarkan untuk menjadi pemain global dalam industri kapal ini menjelang tahun 2010 dengan aset sebanyak RM500 juta," jelasnya.
Setakat ini, EATech mempunyai 11 buah kapal tangki minyak serta kapal khidmat sokongan dan dengan pembinaan kapal baru ini syarikat itu bakal memiliki 16 buah kapal.
EATech juga dalam proses untuk membida empat projek baru dan berharap dapat memuktamadkan bidaan tersebut menjelang Januari tahun hadapan.
Selasa, 11 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan