Rabu, 12 November 2008

Intrade Malaysia 2008 sasar jualan lebih RM3 bilion

Intrade Malaysia 2008 sasar jualan lebih RM3 bilion
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Intrade Malaysia 2008 dijangka meraih jualan melebihi RM3 bilion, kata Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Produk dan Perkhidmatan, Susila Devi.

"Kita bekerja keras dan akan berusaha mencatatkan jualan yang lebih baik tahun ini," kata beliau di sini hari ini.

Acara itu yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan diadakan mulai 13 hingga 16 November, di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade.

Intrade Malaysia 2008, bertemakan "Mengoptimumkan Peluang-peluang Global" bertujuan menyediakan syarikat, para usahawan Malaysia dan perniagaan antarabangsa satu platform untuk mengembangkan lagi peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di pasaran antara serantau dan global.

Susila berkata, lebih daripada 340 peserta pameran dari 30 negara, antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Korea Selatan, Jepun dan Sudan dijangka menyertai pameran itu pada tahun ini.

Beliau berkata, 80 peratus daripada peserta pameran ialah syarikat Malaysia dari pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, automotif, perabot, jubin, bahan binaan dan perkakas isi rumah.

"Antara 297 syarikat tempatan yang menyertai acara itu ialah Proton, Sime Darby, DRB Hicom dan Modenas," kata beliau.

Beliau berkata, Intrade Malaysia 2008 dijangka menarik lebih 15,000 pelawat berbanding 10,000 tahun lepas.

"Matrade menyediakan perkhidmatan bas penghantar dari Pusat Dagangan Dunia Putra, KL Sentral dan KLCC.

"Pameran ini dibuka kepada orang ramai mulai 15hingga 16 November," kata beliau.

Susila berkata, pameran itu akan mengetengahkan rangkaian produk dan perkhidmatan berkualiti dari seluruh dunia.

Beliau berkata, 700 pembeli antarabangsa, mewakili 540 syarikat dari 60 negara seluruh dunia akan menyertai sesi padanan perniagaan satu sama satu.

Satu lagi acara yang diadakan serentak dengan Intrade Malaysia 2008 ialah Forum Perdagangan Antarabangsa KL 2008 pada 13 November ini, kata beliau.

- Bernama

Tiada ulasan: