Selasa, 7 Oktober 2008

12 firma BioNexus catat untung besar

12 firma BioNexus catat untung besar

DASAR Bioteknologi Kebangsaan yang bakal memasuki fasa komersial pada 2011 berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran fasa pertamanya apabila 12 syarikat berstatus BioNexus mula merekodkan keuntungan.

Ketua Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata majoriti daripada 71 syarikat yang diberikan status BioNexus adalah syarikat yang baru ditubuhkan.

“Daripada jumlah itu, 12 syarikat mencatatkan jumlah keuntungan bersih belum diaudit terkumpul bernilai RM28 juta daripada Jun 2007 hingga Jun lalu,” katanya selepas mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Bioteknologi Ketiga di Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat IAP yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu diadakan bersempena Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2008 yang bermula hari ini hingga Khamis.

Iskandar Mizal berkata, walaupun Pelan Induk Bioteknologi belum memasuki fasa komersial, semua syarikat status BiNexus mula melaksanakan aktiviti pengkomersialan masing-masing.

Katanya, daripada jumlah itu, 12 syarikat yang mencatat keuntungan itu sudah melaksanakan pemasaran.

“Apa yang lebih penting selepas ini adalah perkembangan aktiviti pemasaran syarikat terbabit untuk menembusi pasaran yang lebih luas bagi produk serta perkhidmatan yang dikomersilkan.

“Kami juga menjangkakan syarikat berstatus BioNexus akan melaksanakan aktiviti pemasaran menjelang fasa komersial Pelan Induk Bioteknologi,” katanya.

Katanya, kebanyakan aktiviti pengkomersialan membabitkan kerjasama syarikat berstatus BioNexus dengan penyelidikan institusi pengajian tinggi tempatan.

Katanya, antara penyelidikan yang dikomersilkan oleh syarikat berstatus BioNexus terbabit adalah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Melihat perkembangan semasa, kami yakin Dasar Bioteknologi Kebangsaan berada pada landasan tepat untuk mencapai matlamatnya.

“Perkembangan industri ini memang mengambil masa lama. Contohnya industri bioteknologi di Amerika Syarikat mengambil masa antara 20 hingga 30 tahun untuk mencatatkan keuntungan besar,” katanya.

Tiada ulasan: