Minyak mentah jatuh di bawah AS$90 setong
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
HARGA minyak mentah dunia susut ke bawah paras AS$90 setong semalam susulan kebimbangan kemungkinan pertumbuhan perlahan ekonomi global yang dijangkakan menjejaskan permintaan bahan api itu.
Kontrak penanda aras minyak bermutu tinggi, ‘Light, Sweet’ bagi November susut 4.99 peratus atau AS$4.69 kepada AS$89.19 setong dalam dagangan elektronik New York Mercantile Exchange (Nymex) di Eropah petang semalam.
Paras itu adalah yang terendah sejak awal Februari. Harga itu juga adalah penurunan 40 peratus daripada paras tertinggi AS$145.29 setong pada 4 Julai lalu.
Pelabur global pada umumnya tidak yakin bahawa pakej menyelamat bernilai AS$700 bilion yang diluluskan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu, mampu membendung kegawatan ekonomi dunia.
Dalam jangka pendek, harga minyak mentah global dijangka mengalami kadar turun-naik tinggi sehingga wujud petunjuk jelas mengenai berakhirnya krisis kewangan global.
Sebahagian penganalisis global menjangka paras sokongannya ketika ini adalah AS$80 setong.
Penurunan harga bahan api itu turut memberi kesan kepada harga minyak sawit mentah (MSM) apabila susut mendadak 9.7 peratus atau RM194 kepada RM1,806 setan semalam, penutup terendah dalam tempoh hampir dua tahun.
Peniaga berkata, harga penanda aras, kontrak MSM Disember dibuka kukuh pada paras RM2,000 pagi semalam, tetapi susut sehingga 11.4 peratus atau RM225 kepada RM1,775 setan pada awal sesi dagangan petang sebelum pulih sedikit menjelang penutup.
Sehingga kini, harga komoditi itu susut 58.29 peratus berbanding harga tertinggi RM4,330 setan yang direkodkan pada 4 Mac lalu.
Pengurus Pelaburan Institusi Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Deti Affendi Kadir, berkata penurunan harga MSM itu menyebabkan kaunter perladangan di Bursa Malaysia turut menerima tekanan jualan sekali gus menyebabkan penanda aras pasaran, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup di bawah paras 1,000 mata.
“Kejatuhan harga sawit menyebabkan saham perladangan yang menjadi komponen utama KLCI terjejas, justeru mengakibatkan indeks ditutup pada paras 996.84 mata, susut 19.86 mata atau 1.95 peratus, terendah sejak November 2006.
“Penurunan itu adalah fenomena global ekoran kebimbangan pelabur mengenai kesan krisis kewangan AS yang dijangka menjejas ekonomi utama global termasuk Jepun dan Eropah, sekali gus memberi impak kepada permintaan dan perbelanjaan pengguna dan syarikat di seluruh dunia,” katanya.
Dalam jangka pendek, Deti berkata, permintaan MSM akan menjejaki pergerakan harga komoditi utama lain termasuk minyak mentah, soya dan bijirin lain yang turut terjejas susulan perkara itu.
“Sejak minggu lalu, harga MSM susut hampir 14 peratus, iaitu penyusutan mingguan terbesar dalam tempoh lebih tujuh tahun. Namun, secara umumnya, dalam jangka panjang permintaan bagi MSM dijangka terus kukuh dan harganya dijangka lebih stabil menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Aseambankers Malaysia Bhd, Suhaimi Illias, berkata harga MSM dijangka meningkat semula jika nilai dolar AS terus susut berbanding mata wang utama lain.
“Harga komoditi dijangka kembali kukuh apabila dolar AS lemah kembali jika pakej menyelamat bernilai AS$700 bilion yang diluluskan kerajaan AS dilaksanakan serta tindakan menyuntik kecairan oleh beberapa bank pusat utama Eropah.
“Langkah itu dijangka memberi kesan positif kepada sektor perladangan tempatan berikutan harga MSM yang diramal akan kembali kukuh,” katanya.
Suhaimi berkata, penurunan harga MSM memang sudah dijangka susulan musim peningkatan hasil iaitu antara bulan September hingga Oktober dan harganya dijangka pulih semula selepas tempoh itu.
Selasa, 7 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan