Bisnes Dunia: AS kekal kadar faedah
Rizab Persekutuan bimbang tekanan inflasi sejak Jun
RIZAB Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka mengekalkan kadar faedahnya Selasa ini dalam berdepan dengan kegawatan pasaran berterusan serta petunjuk bahawa ekonomi negara itu kekal lembap, kata penganalisis.
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bank pusat AS itu yang diketuai Pengerusinya, Ben Bernanke dijangka akan terus mengekalkan kadar dana persekutuan pada dua peratus, paras sama sejak 30 April lalu, meskipun ia di bawah paras inflasi.
Panel itu juga dijangka berubah pandangan, menarik balik saranan menaikkan kadar faedah pada masa akan datang, di sebalik kebimbangan utama mengenai tekanan inflasi sejak Jun lalu.
"Rizab Persekutuan, jelas tidak boleh menaikkan kadar kerana langkah itu akan menjejaskan ekonomi dan pasaran kewangan," kata Sal Guatieri, Ahli Ekonomi Kanan BMO Capital Markets.
"Pasaran juga menjangka wujud peluang kecil untuk penurunan kadar, namun saya berpendapat perkara itu tidak mungkin berlaku," kata Guatieri di Washington.
"Rizab Persekutuan akan menyatakan kebimbangannya mengenai ekonomi berdasarkan petunjuk kestabilan dalam pasaran hartanah yang masih kurang jelas. Ia mungkin melahirkan rasa kurang bimbang mengenai inflasi susulan penurunan harga komoditi dan barangan import."
Bank pusat AS itu sebelum ini mengunjur pertumbuhan ekonomi perlahan bagi 2008 dan permulaan 2009 ekoran kegawatan pasaran hartanah dan faktor tekanan kredit, meskipun data terbaru menunjukkan terdapat pertumbuhan 3.3 peratus pada suku keduanya.
Laporan Beige Book Rizab Persekutuan awal bulan ini mendedahkan masalah yang dihadapi oleh pengguna AS, memberi kesan ke atas perbelanjaan yang menyumbang dua pertiga kepada aktiviti ekonomi.
Rizab Persekutuan berkata, perbelanjaan menjadi perlahan berikutan tumpuan pengguna kini lebih menjurus kepada barangan keperluan dan mengurangkan belian barangan tidak perlu.
Selain itu, masalah dalam sektor kewangan, seperti yang digambarkan oleh keputusan kerajaan untuk mengambilalih ejen pembiaya gadai janji Fannie Mae dan Freddie Mac, menunjukkan bahawa krisis kredit yang belum berakhir, justeru pantulan pertumbuhan ekonomi sukar berlaku ketika ini.
Susulan itu juga, penganalisis berkata, tidak ada banyak perkara yang boleh dilakukan oleh bank pusat itu.
"Kami yakin, Rizab Persekutuan akan terus mengekalkan pendiriannya susulan paras dana semasa adalah selaras dengan senario ekonomi, antaranya, aktiviti ekonomi yang rendah, kenaikan kadar pengangguran dan penurunan inflasi," kata Ahli Ekonomi Deutsche Bank, Joseph LaVorgna.
"Minggu depan (minggu ini), FOMC dijangka menyatakan bahawa tekanan inflasi kini mulai reda, sungguhpun ia masih dianggap kecil kepada bank pusat itu,
Ahli Ekonomi Kanan Decision Economics, Cary Leahey, berkata penurunan kadar jika berlaku, hanya memberi kesan kecil untuk merangsang ekonomi berikutan kesukaran mendapatkan pinjaman dan kadar faedah semasa yang sudah rendah tidak sampai kepada pengguna dan perniagaan susulan kelulusan pemberian pinjaman yang ketat. AFP
Isnin, 15 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan