Isnin, 15 September 2008

EKONOMI Kuasa beli Asia tumpuan pelabur AS

EKONOMI Kuasa beli Asia tumpuan pelabur AS
Oleh Dzulkfley Zanudin
bhbiz@bharian.com.my
Pembangunan hotel kini lebih tumpu konsep percutian santai

PEMBUKAAN hartanah mewah, termasuk Hotel Four Seasons Macao di Cotai Strip, Macau, baru-baru ini di sebalik kemuraman ekonomi membuktikan rantau Asia tetap tumpuan pelabur asing.

Walaupun Macau terkenal sebagai pusat kasino Asia, hartanah terbaru itu seperti hotel lain di wilayah itu dibangunkan menerusi konsep percutian santai, untuk menggalakkan kunjungan keluarga, ahli perniagaan dan peserta konvensyen.

Pada sidang akhbar selepas perasmian Hotel Four Seasons Macao, Pengerusi selaku Ketua Pegawai Eksekutif Las Vegas Sands (LVS) Corporation, Sheldon G Adelson, berkata secara keseluruhan kelembapan ekonomi dunia, terutama di Amerika Syarikat (AS) tidak begitu mempengaruhi pelaburannya di Asia.

Adelson berkata, walaupun prestasi syarikat induk di Las Vegas, AS merosot berikutan kelembapan ekonomi negara itu, operasinya di Macau mencatatkan peningkatan menggalakkan.

"Umumnya, golongan bukan berjudi 80 peratus pelanggan kami, iaitu 50 peratus pelancongan santai dan 30 peratus ahli perniagaan. Hanya 20 peratus membentuk pelanggan kasino," katanya.

Projek terbaru itu dibuka setahun selepas pembukaan resort kasino pertama yang benar-benar bersepadu di Macau, iaitu Hotel Venetian Macao yang menonjolkan lagi pelaburan LVS di Cotai Strip.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi LVS, William P Weidner; Naib Presiden Eksekutif, Bradley H Stone dan Presiden LVS bagi Asia, Stephen Weaver.

Hotel Four Seasons Macao dengan 360 bilik dimiliki LVS Corporation tetapi dikendalikan rangkaian Four Seasons Hotels and Resorts.

"Projek terbaru ini menandakan satu lagi kemajuan penting dalam usaha keseluruhan untuk menjadikan Macau destinasi percutian dan perniagaan antarabangsa," kata Adelson.

Berikutan itu, katanya, LVS Corporation menumpukan golongan sasar yang mahu memanfaatkan percutian, mesyuarat dan urusan perniagaan di Macau.

Hotel Four Seasons selain mempromosikan Casino Plaza turut dikenali sebagai hotel butik kerana premis perniagaannya menawarkan himpunan produk berjenama terkenal.

Mengenai usaha pelaburan kumpulan, katanya, projek Las Vegas Sands di Bethlehem, Pennslyvania dan Marina Bay, Singapura akan dibuka tahun depan.

Tiada ulasan: