Jumaat, 19 September 2008

Ekonomi negara tetap kukuh

Ekonomi negara tetap kukuh

KEDUDUKAN ekonomi Malaysia terus kukuh walaupun pasaran saham global termasuk Bursa Malaysia mengalami penurunan ekoran krisis kewangan di Amerika Syarikat.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata ekonomi negara masih mempunyai asas kukuh untuk berdepan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang berhubung terus dengan ekonomi global memang akan menerima tempias dan kesan daripada keadaan gelombang global ini, tetapi saya yakin perkara ini hanya sementara saja sebab asas ekonomi kita begitu kukuh dan dalam jangka panjang pelabur dan peniaga akan melihat juga kelebihan kekukuhan ekonomi negara kita,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Pulau Pinang di Wisma Anak-anak Yatim Air Itam di sini, semalam.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yusof Latiff.

Nor Mohamed mengulas penurunan harga saham di Bursa Malaysia sebanyak 30 peratus tahun ini kerana pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka berikutan kebimbangan dengan ketidaktentuan politik dalaman dan luaran.

Beliau berkata, selain mempunyai asas ekonomi yang kukuh, hubungan baik Malaysia dengan China dan India, dua negara yang sedang pesat membangun juga membantu mengukuhkan perdagangan luar Malaysia.

Katanya, walaupun Amerika dan Eropah mungkin menyaksikan penurunan dalam pertumbuhan ekonomi, China dan India akan kekal mengalami pertumbuhan kukuh, iaitu masing-masing 10 peratus dan lapan peratus.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan tetap berpegang kepada formula yang dipersetujui sebelum ini berhubung penurunan harga minyak.

“Harga minyak pada bulan depan akan ditentukan pada akhir bulan ini dan kita akan umumkan pada 30 September ini, sehari sebelum Aidiliftri. Formula yang diguna pakai tidak mengalami perubahan,” katanya.

Tiada ulasan: