EKONOMI KLCI susut bawah 1,000 mata
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
Pasaran tempatan jejaki kejatuhan besar bursa saham utama Asia
INDEKS Komposit Kuala Lumpur (KLCI) menjunam ke paras di bawah 1,000 mata semalam dipengaruhi sentimen buruk pasaran saham dunia berikutan meningkatnya kebimbangan berlakunya krisis kewangan global.
Pasaran saham tempatan menjejaki bursa saham utama Asia lain yang mengalami kejatuhan besar pada pagi susulan kejatuhan teruk di Wall Street sebelum pulih sedikit pada petang.
Indeks Perusahaan Dow Jones menjunam 4.06 peratus atau 449.36 mata kepada 10,609.66 mata pada Rabu apabila pelabur menjangkakan lebih banyak syarikat kewangan utama Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan masalah kewangan selepas kerajaannya mengumumkan pelan menyelamat American International Group Inc (AIG) bernilai AS$85 bilion.
Bagaimanapun, keputusan bank pusat utama dunia termasuk European Central Bank (ECB), Bank of England, Bank of Japan, Swiss National Bank dan Bank of Canada untuk membantu Rizab Persekutuan AS merangsang kecairan menerusi suntikan dolar AS dalam pasaran kewangan global, membantu memulihkan pasaran pada sesi petang.
Dianggarkan bank pusat berkenaan menyuntik lebih AS$300 bilion ke dalam pasaran kewangan semalam, iaitu paling besar dalam sejarah bagi mengelak berlakunya krisis kewangan global.
Rizab Persekutuan AS sendiri menyuntik tambahan AS$180 bilion ke dalam pasaran selepas mengumumkan pelan menyelamat AIG.
KLCI yang jatuh 39.7 mata kepada 963.29 mata pada pagi kembali pulih pada sesi petang untuk ditutup pada 991.66 mata, susut 1.13 peratus atau 11.33 mata.
Indeks Hang Seng, Hong Kong yang mendahului kejatuhan pasaran serantau apabila susut 1,272.86 mata atau 7.22 peratus kepada 16,364.33 mata pada pagi turut pulih pada sesi petang untuk ditutup pada 17,632.46 mata, susut 4.73 mata atau 0.03 peratus.
Indeks Nikkei 225, Jepun yang merekodkan kejatuhan 445.67 mata, atau 3.79 peratus kepada 11,304.12 mata pada pagi juga pulih untuk ditutup pada 11,489.30 mata, susut 260.49 mata atau 2.22 peratus.
Di bursa utama Asia lain, Indeks Kospi Korea susut 32.84 mata atau 2.3 peratus kepada 1,392.42 mata; Indeks TSEC, Taiwan susut 158.92 mata atau 2.74 peratus kepada 5,641.95 mata dan Indek Komposit Shanghai, China Shanghai susut 33.21 mata atau 1.72 peratus kepada 1,895.84 mata.
Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli, berkata pasaran kewangan global kini dibelenggu krisis keyakinan lanjutan krisis gadai janji yang berlarutan sejak 13 bulan lalu.
"Pengumuman kerugian besar syarikat kewangan terkemuka seperti Lehman Brothers, Merill Lynch dan AIG menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap pasaran kewangan AS, sekali gus mempengaruhi sentimen di pasaran kewangan global," katanya.
Penganalisis Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Koay Yi Chuan, pula berkata, pasaran saham tempatan yang terjejas dengan tekanan pasaran global kini turut berdepan dengan masalah ketidaktentuan politik.
"Bursa tempatan berdepan dua tekanan, iaitu kejatuhan Wall Street dan pasaran serantau serta ketidaktentuan politik domestik yang berlarutan.
"Bagaimanapun lantunan semula harga minyak sawit mentah (MSM) ekoran peningkatan semula harga minyak mentah, menjadi penyerap kejatuhan apabila kaunter syarikat perladangan serta minyak dan gas kembali mendapat perhatian," katanya.
Harga kontrak MSM bagi penghantaran Disember meningkat kepada RM2,185 setan semalam sejajar kenaikan harga minyak mentah global yang kembali diniagakan sekitar AS$100 setong.
Jumaat, 19 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan