Jumaat, 19 September 2008

Malaysia kurang terjejas krisis kewangan AS

Malaysia kurang terjejas krisis kewangan AS

Institusi tempatan tak aktif di pasaran global

MALAYSIA secara relatif terasing dan akan berdaya tahan dalam menghadapi krisis kredit semasa akibat krisis gadai janji subprima di Amerika Syarikat, kata Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

"Kita sebenarnya tidak begitu aktif dalam pasaran global. Tiada satu pun daripada bank atau korporat kita terbabit dalam perkara itu," katanya selepas pelancaran CIMB Islamic Max InvestSave PSSIA-I di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada krisis di Amerika akan menjejaskan terbitan bon dan sukuk Malaysia.

CIMB ialah penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar Malaysia dan satu daripada kumpulan perbankan universal terkemuka Asia Tenggara.

Bursa saham di seluruh dunia menjunam awal minggu ini apabila institusi di Wall Street seperti Merril Lynch dan Lehman Brothers terjerumus ke dalam masalah kewangan disebabkan krisis kredit perumahan menjadi semakin buruk.

Pasaran terus jatuh selepas langkah menyelamat Kerajaan Amerika bernilai AS$85 bilion terhadap penanggung insurans American International Group yang gagal menenangkan pelabur.

Apa yang berlaku adalah serupa dengan krisis kewangan Asia 1998, tetapi secara global, Nazir berkata: "Akibat krisis itu... peraturan permainan akan berulang."

Mengenai keruntuhan Lehman Brothers, beliau berkata, jualan singkat mungkin turut menyumbang.

Nazir juga teringat langkah 'bijak' bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika krisis 1998 yang akhirnya membantu Malaysia terlepas daripada kegawatan kewangan itu.

Sementara itu, Max InvestSave - produk pelaburan dan tabungan yang berlandaskan syariah, adalah satu lagi inovasi diperkenalkan CIMB Group dalam perbankan runcit di pasaran tempatan.

Dengan modal pelaburan serendah RM50, pelanggan boleh melabur dalam instrumen perlindungan modal itu bagi tempoh 15, 20, 25 atau 30 tahun dan mendapat keuntungan berdasarkan nilai tertinggi dicapai sepanjang tempoh pelaburan matang.

Pelanggan juga diberikan kelonggaran untuk mengeluarkan simpanan dan melabur pada bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang penalti atas pengeluaran deposit.

Nazir menjelaskan, pelancaran produk itu bertujuan memenuhi keperluan persaraan rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: