GCH Retail jual RM62j produk PKS
GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pengendali pasar raya besar Giant menjual produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bernilai RM62 juta dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun lalu.
Pengarah Pemasarannya, Ho Mun Hao, berkata sejak pihaknya mula memasarkan produk keluaran PKS tempatan pada 2005, 170 usahawan sektor itu memasarkan produk mereka kepada Giant membabitkan 1,850 produk.
Bilangan usahawan PKS yang memasarkan produk di pasar raya syarikat itu, katanya dijangka terus meningkat dari setahun ke setahun dan jualan produk mereka disasarkan meningkat antara 10 hingga 15 peratus tahun ini.
"Kami mahu menerima sebanyak mungkin tawaran daripada usahawan untuk memasarkan produk mereka sejajar usaha Giant menyokong produk PKS," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk PKS yang dipasarkan di Giant iaitu Sweet Forever keluaran Grand Throphy Sdn Bhd, di Kuala Lumpur.
Perasmian disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Grand Throphy Sdn Bhd, Datin Fatin Fatiha Ashaari.
Ho berkata, pihaknya komited dalam membeli produk keluaran Malaysia untuk pasaran tempatan dan sudah menjalankan pelbagai program seperti Pembangunan Usahawan Bumiputera bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka.
"Kami percaya pembekal produk PKS boleh memainkan peranan penting dalam sektor peruncitan apabila mampu membekalkan produk berkualiti pada harga berpatutan untuk turut sama bersaing dengan jenama lain yang sudah kukuh di pasaran," katanya.
Sementara itu, selain Giant, produk kebersihan peribadi, tuala wanita Sweet Forever juga akan turut dipasarkan farmasi Guardian.
Isnin, 15 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan