Pendapatan RM200 sebulan mampu tampung perbelanjaan
PEMBABITAN pelajar dalam kegiatan luar bilik kuliah seperti kokurikulum dan bekerja secara sambilan perlu dilihat dalam pelbagai sudut iaitu positif dan negatif. Aktiviti sedemikian jika dilaksanakan tanpa perancangan teliti, dikhuatiri akan menjejaskan prestasi akademik.
Bagaimanapun, tanpa disedari pembabitan pelajar dalam kegiatan sampingan membentuk semangat serta jadi diri kuat kerana ia menjadikan mereka lebih berdisiplin dan bijak membahagikan masa di antara kuliah dan bekerja.
Fatin Liyana Suhaimi, 22, berkata selain aktif di kolej dia juga mula menjinakkan diri dengan dunia pekerjaan dengan bertugas sebagai jurujual di gerai makanan segera di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi.
Katanya, masa bekerja mengikut jadual kuliah, jika dia perlu ke kelas pada sebelah pagi, petangnya diisi dengan bekerja sambilan.
“Keadaan ini memang memenatkan tetapi dalam masa yang sama saya seronok. Walaupun wang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara mencukupi namun ia sekurang-kurangnya dapat menambah perbelanjaan harian.
“Bekerja juga menjadikan saya lebih berdisiplin dan perlu membahagikan masa dengan sebaik mungkin,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM200 sebulan.
Seorang lagi pelajar, Mohamad Buhari Aris, 20, berkata waktu bekerja juga tidak membebankan kerana dia hanya perlu bertugas sekitar tiga jam hingga enam jam sehari, malah lokasi tempat kerja berhampiran dengan kolej.
Pelajar program Pentadbiran Perniagaan itu berkata, bekerja menjadikannya lebih bersedia dan sentiasa menggunakan masa dengan sebaik mungkin.
Dia yang juga menerima sekitar RM200 sebulan hanya perlu bekerja di antara tiga hingga enam jam seminggu, sebelum ini pernah bekerja di sebuah pusat beli belah di Seremban.
Katanya, bekerja tidak semestinya menjejaskan prestasi pelajaran kerana mereka yang berbuat demikian lazimnya boleh membahagikan masa sebaik mungkin.
“Pengalaman berniaga ini penting dalam membantu saya mempersiapkan diri dalam dunia pekerjaan sebenar sebaik menamatkan pengajian,” katanya.
Isnin, 15 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan